Sign In

Announcements

Manage PermissionsManage Permissions

Title

The Third Phase School Reopening

Body

‚Äč

PENGEMBALIAN OPERASI PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN SEKOLAH-SEKOLAH RENDAH, MENENGAH DAN PUSAT-PUSAT TINGKATAN ENAM PERINGKAT KE-3

Kementerian Pendidikan memaklumkan bahawa dengan nasihat dan kerjasama Kementerian Kesihatan dalam mengikuti perkembangan semasa wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam, sesi persekolahan Peringkat Ke-3 pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi Pendidikan di Negara Brunei Darussalam akan dimulakan pada hari Sabtu, 12 Zulkaedah 1441 bersamaan dengan 04 Julai 2020. Sesi persekolahan Peringkat Ke-3 ini adalah melibatkan pelajar-pelajar peringkat sekolah menengah dalam Tahun 7, 9 serta pelajar Tahun 10 dalam aliran general dan Tahun 12 di Pusat Tingkatan Enam di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, semua Sekolah swasta serta kelima-lima buah sekolah Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama. Bagi sekolah-sekolah antarabangsa, ianya adalah tertakluk kepada tarikh yang telah ditetapkan oleh institusi masing-masing.

Pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran sesi persekolahan Peringkat Ke-3 ini adalah dikekalkan kaedahnya menggunakan gabungan kaedah secara face-to-face dan secara dalam talian mengikut kesesuaian serta kapasiti sekolah masing-masing. Pihak sekolah adalah dinasihatkan untuk merujuk kepada modaliti yang telah dikongsikan oleh pihak Kementerian Pendidikan bagi pelaksanaan kaedah-kaedah ini.

Bagi Peringkat Ke-3 ini, seramai 90,486 pelajar dijangka akan kembali bersekolah pada 04 Julai ini iaitu peningkatan sebanyak 51.2% dari jumlah peringkat kedua.

Dengan jumlah lebih ramai lagi pelajar kembali bersekolah di peringkat berikut ini, pihak Kementerian Pendidikan masih menekankan aspek penjarakan sosial dan kebersihan diri serta premis sekolah. Pihak sekolah adalah dikehendaki untuk menggunakan garis panduan serta langkah-langkah menjaga keselamatan, kebersihan dan pencegahan yang telah disediakan bagi memastikan kesejahteraan pelajar-pelajar dan warga sekolah adalah terjamin.

Sehubungan ini, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan terus memastikan sekolah-sekolah akan terus melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengembalian Semula Sekolah iaitu dengan mengadakan pemeriksaan suhu badan setiap hari bagi pelajar-pelajar, guru-guru dan individu-individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah. Pengimbasan Kod QR juga akan terus dilakukan. Seperti yang telah dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan, pada masa ini semua aktiviti di luar bilik darjah seperti perkumpulan pagi, sukan dan kokurikulum secara bersemuka belum dapat dilaksanakan sehingga ke suatu tarikh yang akan dimaklumkan nanti.

Pada peringkat ke-3 ini, pusat-pusat tuisyen juga akan dibenarkan beroperasi dengan kapasiti pelajar tidak lebih daripada 10 orang pada setiap sesi pengajaran. Langkah-langkah pencegahan seperti pemeriksaan suhu badan dan penggunaan pengimbasan Kod QR bagi individu yang keluar masuk dari dan ke premis tuisyen berkenaan hendaklah dilakukan, di mana mereka yang mempunyai simptom dan berada dalam kod merah adalah tidak akan dibenarkan untuk hadir. Selain itu, pemakaian sebarang jenis penutup mulut dan hidung adalah digalakkan.
Dengan norma baru dalam amalan dan penekanan terhadap kebersihan diri yang diperkenalkan, Kementerian Pendidikan berharap norma-norma baru ini akan terus diamalkan khususnya dalam memupuk budaya kebersihan demi kesejahteraan warga sekolah pasca COVID-19 nanti. Pihak Kementerian Pendidikan berharap pengembalian operasi pengajaran dan pembelajaran di institusi-institusi Pendidikan di Negara Brunei Darussalam bagi Peringkat Ke-3 ini nanti akan berjalan dengan lancar dan selamat. Dengan yang demikian, adalah disarankan agar semua pihak sentiasa patuh kepada segala arahan dan saranan yang diberikan oleh pihak Kementerian Kesihatan. Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi mendapatkan perkembangan terkini dan nasihat yang bersesuaian dengan keadaan semasa.
Attachments
Created at 7/1/2020 6:39 PM by Dk Siti Farhana Binti Pg Hj Yusof
Last modified at 8/4/2020 7:50 AM by Dk Siti Farhana Binti Pg Hj Yusof