MAJLIS PENGHARGAAN DAN PENUTUP PROGRAM RI’AYAH WA MAHABBAH TAHUN 2017

Nov 17, 2017

Gadong – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Sekolah-Sekolah telah mengadakan satu Majlis Penghargaan dan Penutup Program Ri’ayah Wa Mahabbah Tahun 2017 di Dewan Makan, Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah di sini.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee, Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan, Kementerian Pendidikan.

Tujuan acara ini di adakan adalah untuk memberi penghargaan dan apresiasi kepada pelajar-pelajar dalam kemajuan akademik, penglibatan mereka dalam kegiatan luar, sikap dan sakhsiah pelajar serta memberi penghargaan kepada guru-guru yang terlibat dalam aktiviti pembelajaran kelas malam.

_1020084.JPG

image2.JPG

Majlis pada petang ini dimulakan dengan sesi bergambar ramai bersama tetamu kehormat majlis, seterusnya bacaan Surah Al-Fatihah dan doa kesyukuran yang dipimpin oleh Yang Mulia Ustaz Arman bin Haji Ahmad. Acara selanjutnya di ikuti dengan ucapan pengerusi majlis, Yang Mulia Haji Mohd. Sharifuddin bin Hj. Mohd. Salleh, Pemangku Pegawai Tugas-Tugas Khas Kanan (korporat), Jabatan Sekolah-Sekolah. Hadirin pada petang ini turut mendengar ucapan dan perkongsian daripada Ketua Pegawai Asrama, Yang Mulia Mohammad Ariffin bin Haji Matussin serta ucapan daripada wakil pelajar asrama berkenaan, Yang Mulia Dayang Ekin Yusmardiyanah binti Yusry.

Majlis diteruskan lagi dengan persembahan daripada pelajar-pelajar dan Tayangan Slaid.

Sebelum mengakhiri majlis, seramai 24 orang guru dan 42 orang pelajar telah menerima sijil-sijil dan hadiah penghargaan yang disampaikan oleh tetamu kehormat majlis.

Program Penempatan Pelajar Tahun 6 ke Asrama Maktab Duli Pengiran Muda Al-Muhtadee Billah, Gadong adalah kesinambungan Program Sekolah Pemangkin 2014 di bawah pemantauan Jabatan Perdana Menteri dan juga Kementerian Pendidikan. Tujuan program ini di adakan adalah untuk membantu pelajar Tahun 6 yang akan menduduki Peperiksaan Penilaian Sekolah Rendah (PSR) supaya mereka akan dapat memelihara dan memastikan tahap kehadiran mereka ke sekolah pada sekurang-kurangnya 95% dan seterusnya membantu mereka untuk berjaya dalam PSR tahun ini.

Pada tahun ini seramai 42 orang pelajar Tahun 6 telah mengikuti Program Ri’ayah Wa Mahabbah di asrama berkenaan selama hampir 11 bulan hinggalah selesainya PSR dan Peperiksaan Akhir Tahun Ugama.

-TAMAT-

Dikeluarkan Oleh:
Unit Perhubungan Awam
Kementerian Pendidikan
Tel. : 238 1301
Faks : 238 0703
Emel : feedback@moe.gov.bn
Laman Sesawang : www.moe.gov.bn