MAJLIS BERDIKIR KE MASJID-MASJID BAGI ROMBONGAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN SEMPENA SAMBUTAN MAULIDUR RASUL BAGI TAHUN 1439H / 2017M

Nov 20, 2017

ISNIN, 20 November 2017- Sempena menyemarakkan Sambutan Maulud Nabi Muhammad Salallahu 'Alaihi Wasallam 1439 Hijrah/ 2017 Masihi, pada hari ini rombongan daripada Kementerian Pendidikan telah mengadakan Majlis Berdikir bertempat di Masjid Rashidah Sa'adatul Bolkiah, Kampung Sungai Akar.

Majlis tersebut merupakan aktiviti tahunan Kementerian Pendidikan dan pada tahun ini majlis dikendalikan oleh Jabatan Peperiksaan dengan kerjasama Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

Rombongan Kementerian Pendidikan diketuai oleh Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Pendidikan.

MAULUD 1.jpg

Juga hadir di majlis ini ialah Timbalan Menteri Pendidikan, Yang Mulia Pengiran Dato Seri Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar.

Majlis dimulakan dengan sembahyang Fardhu Maghrib berjemaah yang diimamkan oleh Yang Mulia Imam Awang Haji Sa’dullah bin Haji Salleh, acara kemudiannya diikuti dengan bacaan Surah Al-Fatihah beramai-ramai yang dipimpin oleh Yang Mulia Imam Haji Symsul Nizam bin Haji Badar dan diikuti dengan bacaan Dikir Syarafil Anam. Majlis diteruskan dengan sembahyang Fardhu Isyak berjemaah, diikuti dengan Dikir Marhaban dan bagi memberkati majlis diakhiri dengan Doa Allah Peliharakan Sultan.

Majlis Dikir ke masjid-masjid ini antara lain bertujuan untuk menggalakkan warga Kementerian Pendidikan untuk terus berselawat dan memuji Junjungan Besar Nabi Muhammad Sallallahu 'Alaihi Wasallam, di samping menunjukkan rasa kasih sayang terhadap jasa-jasa Baginda yang telah memancarkan cahaya dan roh Islam kepada umat Islam.

Di samping itu, majlis ini juga bertujuan untuk mengeratkan lagi tali silaturrahim antara pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Pendidikan.

Antara yang hadir di majlis ini ialah Yang Mulia Dr. Haji Norarfan bin Haji Zainal, Rektor Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), Ketua-Ketua Jabatan, Pegawai-pegawai serta kakitangan daripada Kementerian Pendidikan.

Rombongan Kementerian Pendidikan akan meneruskan Majlis Dikir berkenaan di Masjid Pengiran Muda Abdul Mateen, Kampung Mulaut pada hari Jumaat, 24 November 2017.

- TAMAT -

Disediakan oleh:
Unit Perhubungan Awam
Kementerian Pendidikan
No. Tel.: 2381301 No. Faks: 2380703