PINDAAN AKTA PENDIDIKAN WAJIB (APW), PENGGAL 211
UMUR WAJIB BERSEKOLAH 6 TAHUN KEPADA 5 TAHUN
Hari Sabtu, 25 Jamadilawal 1445H | 9 Disember 2023M
BERAKAS – Pada menjunjung Titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sempena Majlis Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam kali Ke-33 Tahun 2023 yang lalu, Kementerian Pendidikan sukacita memaklumkan bahawa pindaan Akta Pendidikan Wajib Penggal 211, yang berkaitan dengan umur wajib kanak-kanak bersekolah dari 6 tahun kepada 5 tahun, akan mula dilaksanakan pada bulan Januari tahun 2024.
Pindaan ini mewajibkan kanak-kanak yang mencapai umur 5 tahun untuk bersekolah, khususnya mereka yang terdiri daripada warga Negara Brunei Darussalam dan yang bermastautin di Negara Brunei Darussalam. Bagi kanak-kanak yang mencapai umur 5 tahun pada 31 Disember adalah diwajibkan mendaftar bagi kemasukan prasekolah bermula awal tahun berikutnya.
Pendaftaran bagi kemasukan sesi persekolahan mulai Januari 2024 telahpun dibukakan bagi kanak-kanak yang berumur 5 tahun untuk mengikuti kelas Pra di Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan. Manakala bagi kanak-kanak yang belum berkesempatan untuk membuat pendaftaran, mereka masih diberi peluang untuk mendaftar di Sekolah-Sekolah Rendah masing-masing. Sepertimana merujuk Surat Pemberitahuan Kementerian Pendidikan bilangan: 06/2023:
a) Bagi kanak-kanak yang akan bersekolah untuk kemasukan ke prasekolah pada awal tahun 2024, mereka hendaklah mencapai umur 5 tahun pada 31 Disember 2023, iaitu lahir sebelum 01 Januari 2019.
b) Pertimbangan khas bagi yang lahir 01 Januari 2019 dan seterusnya adalah tidak diterima untuk pendaftaran kemasukan prasekolah tahun 2024 (mereka bolehlah mendaftar bagi sesi persekolahan pada tahun seterusnya).
c) Kemasukan murid-murid bagi tahun 2024 prasekolah akan ditetapkan oleh pihak sekolah masing-masing.
Sepertimana jua Akta Pendidikan Wajib Penggal 211 yang sebelum ini, kanak-kanak yang bekeperluan khas adalah juga diwajibkan untuk bersekolah dengan diberikan akses dan jadual-jadual yang tertentu mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pendidikan Khas. Walau bagaimanapun, terdapat kes-kes pengecualian bagi pelajar-pelajar yang mempunyai keperluan tahap tinggi yang mungkin memerlukan penempatan pembelajaran khas di pusat-pusat khusus atau sekolah khas yang biasanya ditubuhkan oleh Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO). Pelajar-pelajar tersebut akan ditempatkan di sekolah-sekolah khas melalui proses penilaian yang bersesuaian.
Pendidikan awal kanak-kanak merupakan satu keutamaan dan pelaburan yang dianggap oleh Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sebagai usaha mencapai kecemerlangan bagi mewujudkan sebuah negara berpendidikan dan berkemahiran tinggi menjelang tahun 2035. Maka, matlamat utama bagi pindaan ini dilaksanakan adalah untuk memastikan setiap kanak-kanak di negara ini diberikan peluang dan akses yang sama kepada pendidikan yang berkualiti dari sejak awal umur mereka lagi, yang mana ianya adalah selaras dengan Pelan Strategik Kementerian Pendidikan dan komitmen di peringkat antarabangsa. Selain itu juga, bagi mewajibkan kanak-kanak bersekolah daripada umur 5 tahun adalah untuk mengukuhkan lagi pendidikan awal kanak-kanak yang merupakan aspek utama dalam membina asas keupayaan kognitif, aspek sosial dan emosi kanak-kanak.
Akta Pendidikan Wajib Penggal 211 sebelum ini hanya mewajibkan pelajar-pelajar yang mencapai umur 6 tahun untuk bersekolah, iaitu mereka yang menuntut dalam peringkat Tahun 1 (Darjah 1). Manakala dengan pindaan ini, kanak-kanak yang mencapai umur 5 tahun adalah diwajibkan untuk bersekolah, iaitu dalam darjah Pra di Sekolah-Sekolah Rendah Kerajaan (yang mana sebelum ini, mereka ini tidak diwajibkan bersekolah).
Kementerian Pendidikan sukacita menyeru dan menasihatkan para ibu bapa atau penjaga untuk memberikan kerjasama bagi memastikan anak-anak mereka menghadiri sesi persekolahan bagi memastikan mereka tidak tercicir dalam pembelajaran atau mendapat pendidikan, lebih-lebih lagi mereka yang masih dalam lingkungan umur Akta Pendidikan Wajib.
Sementara itu, mana-mana pelajar yang dalam lingkungan Akta Pendidikan Wajib, iaitu mereka yang berumur 5 hingga 14 tahun (sebelum mencapai 15 tahun), dan yang telah lama tidak menghadiri sesi persekolahan atas sebab-sebab tertentu, pihak Kementerian sentiasa mengalu-alukan mereka untuk mendaftar atau melapor dan menghadiri sesi persekolahan dengan berhubung terus ke sekolah masing-masing atau Jabatan Sekolah-Sekolah melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar di talian +6737413059 yang beralamat di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, Tingkat 5, Jabatan Sekolah-Sekolah, Bangunan Ong Sum Ping, Bandar Seri Begawan.
Rujukan: KPE/CCD/K1:2/PR/178 (M)
Tarikh: 25 Jamadilawal 1445H / 9 Disember 2023M