ACARA PEMBUKAAN RASMI COFFEE WITH DP 2024:
PEMBELAJARAN UTAMA DARIPADA PENGALAMAN PROGRAMME
FOR INTERNATIONAL STUDENT ASSESSMENT (PISA)
Hari Isnin, 11 Zulkaedah 1445 | 20 Mei 2024
Kementerian Pendidikan pada hari ini telah mengadakan Acara Pembukaan Rasmi Coffee With DP bagi tahun 2024. Majlis ini dikendalikan oleh Jabatan Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Pendidik, Kementerian Pendidikan dan Sultan Hassanal Bolkiah Institute of Education (SHBIE), Universiti Brunei Darussalam bertempat di Institute for Leadership, Innovation and Advancement (ILIA).
Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Yang Mulia Dr. Shamsiah Zuraini Kanchanawati binti Haji Tajuddin, Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Kementerian Pendidikan.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah diikuti dengan ucapan alu-aluan daripada Yang Mulia Wan Abd Rahman bin Wan Ibrahim, Pemangku Pengarah Perancangan, Perkembangan dan Penyelidikan, Kementerian Pendidikan, selaku Pemangku Pengerusi Majlis.
Acara diteruskan dengan pembentangan bertajuk ‘Beyond the Numbers: Learning from PISA 2022 for Brunei Educators and Schools’ yang disampaikan oleh Professor Kit Tai Hau, Department of Educational Psychology, The Chinese University of Hong Kong.
Dengan tajuk “Pembelajaran Utama Daripada Pengalaman Programme For International Student Assessment (PISA)’", acara ini bertujuan untuk meningkatkan kefahaman Negara Brunei Darussalam bagi pihak berkepentingan terutama sekali di Kementerian Pendidikan dan juga pemimpin-pemimpin sekolah dan tenaga pengajar terhadap dapatan dan laporan dari PISA 2022 bagi penambahbaikan masa hadapan, serta memberi peluang bagi perkembangan profesional berterusan dan perkembangan dalam membuat analisis penilaian antarabangsa, khususnya PISA.
Acara Coffee with DP tahun ini, yang berbentuk taklimat dan bengkel, berlangsung selama enam hari mulai dari 20 hingga 25 Mei 2024 melibatkan Ketua-Ketua Jabatan, Ketua-Ketua Kluster, Guru-Guru Pakar (Specialist Teachers), pegawai-pegawai di beberapa buah jabatan di bawah Kementerian Pendidikan serta para mahasiswa dan mahasiswi dari Sultan Hassanal Bolkiah Institute of Education, Universiti Brunei Darussalam.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Yang Mulia Naib Canselor Universiti Brunei Darussalam, Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Yang Mulia Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras), Yang Mulia Penolong Naib Canselor (Penyelidikan), Universiti Brunei Darussalam, Yang Mulia Wakil daripada Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama, ketua-ketua jabatan dan pegawai-pegawai dari Kementerian Pendidikan dan SHBIE.