MAJLIS ANUGERAH GRADUAN CEMERLANG
2024
BANDAR SERI BEGAWAN – Kementerian Pendidikan melalui Jabatan Pengurusan Biasiswa pada hari ini telah mengadakan Majlis Anugerah Graduan Cemerlang 2024 bagi meraikan pencapaian seramai 14 orang graduan di bawah Skim Biasiswa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam Ke Luar Negeri dan Skim Bantuan Pinjaman Pendidikan (SBPP) yang berjaya memperolehi keputusan kepujian Kelas Pertama (First Class Honours) Ijazah Sarjana Muda setelah tamat pengajian mereka pada tahun 2023. Majlis berlangsung petang ini di Dewan Auditorium, Balai Khazanah Islam Sultan Haji Hassanal Bolkiah.
Hadir selaku Tetamu Kehormat bagi majlis tersebut ialah Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan, Negara Brunei Darussalam.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah yang dipimpin oleh Yang Mulia Haji Raminey bin Haji Salleh dari Jabatan Pengurusan Biasiswa, diikuti dengan kata alu-aluan daripada Pengerusi Majlis, Yang Mulia Dayang Rosimah Sumaimah binti Haji Matassim, Pemangku Pengarah Pengurusan Biasiswa, Kementerian Pendidikan.
Seterusnya, majlis diikuti dengan penyampaian plak dan sijil penghargaan kepada graduan-graduan yang diraikan oleh Tetamu Kehormat. Majlis disusuli dengan ucapan daripada wakil graduan, Dk Aniisah Khoirunnisaa’ binti Pg Hj Kamaluddin. Majlis diakhiri dengan bacaan doa selamat.
Majlis ini bertujuan bagi memberi pengiktirafan dan penghargaan terhadap usaha para graduan dalam mencapai kelulusan yang cemerlang. Di samping itu, ianya juga bertujuan untuk menjadi inspirasi dan galakan kepada pelajar-pelajar lain agar lebih bersemangat untuk meraih kejayaan dalam pengajian mereka.
Turut hadir pada majlis tersebut ialah Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Naib-naib Canselor, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi), Ketua-Ketua Jabatan, pegawai-pegawai dan kakitangan Kementerian Pendidikan.