Situasi Pandemik COVID-19 Pelajar-Pelajar Negara Brunei Darussalam Yang Menetap Di Brunei Hall, London

Feb 15, 2021

Berhubung dengan kes positif COVID-19 pelajar yang menetap di Brunei Hall, London, pada 2 Februari 2021 lalu, Kementerian Pendidikan ingin memaklumkan bahawa sehingga hari ini seramai sebelas (11) pelajar telah disahkan positif COVID-19 dengan tiga (3) kes yang masih aktif. Bermula dari kes pertama yang dikesan, semua pelajar yang menetap di Brunei Hall telah menjalani ujian swab dan pengasingan diri di bilik pelajar masing-masing. Sehingga kini, seramai tiga puluh satu (31) pelajar telah menamatkan tempoh pengasingan diri di Brunei Hall. 

Berikutan situasi ini, Kementerian Pendidikan melalui Unit Penuntut-Penuntut di London telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di United Kingdom dan Kementerian Kesihatan, Negara Brunei Darussalam dalam memantau perkembangan kesihatan para pelajar di United Kingdom. Antara usaha yang telah dilaksanakan adalah penutupan serta-merta bangunan Brunei Hall, pemantauan kesihatan, pelaksanaan contact tracing bagi semua pelajar dan tenaga kerja, pembekalan makan dan minum dan perubatan serta keperluan-keperluan lain. 

Selain dari tiga (3) kes aktif yang mengalami simptom ringan, semua pelajar adalah dalam keadaan yang baik. Pada masa yang sama, para pelajar yang berada di Brunei Hall khususnya dan yang berada di United Kingdom amnya disarankan untuk sentiasa mematuhi Standard Operating Procedure (SOP) yang ditetapkan dari semasa ke semasa bagi mengelakkan jangkitan pandemik COVID-19. Pelajar juga dinasihatkan untuk sentiasa memaklumkan kondisi masing-masing setiap hari kepada pihak pengurusan Brunei Hall. 

Para ibubapa, penjaga dan keluarga pelajar adalah dinasihatkan untuk tidak merasa cemas dengan situasi ini. Kementerian Pendidikan akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan pihak-pihak berkenaan dalam memantau situasi pandemik COVID-19 di United Kingdom dan seterusnya mendapatkan nasihat yang bersesuaian dengan keadaan semasa. 

Sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkara ini boleh dirujuk ke Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan di Tingkat 5, Blok C, Kementerian Pendidikan atau melalui telefon 2380019 atau emel scholarship@moe.gov.bn.