Kementerian Pendidikan, Berakas/29 Zulhijjah 1442 bersamaan 09 Ogos 2021 – Berikutan
perkembangan terkini mengenai COVID-19 seperti yang dimaklumkan oleh Kementerian
Kesihatan, Kementerian Pendidikan dan Kementerian Hal Ehwal Ugama mengambil langkah
berjaga-jaga bagi memastikan kesejahteraan dan keselamatan para pelajar dan warga sekolah
dengan mengubah tarikh bermula cuti penggal kedua persekolahan daripada 12 September 2021
kepada hari Rabu, 11 Ogos 2021 hingga hari Selasa, 17 Ogos 2021. Perubahan cuti ini akan
melibatkan semua sekolah rendah, menengah, maktab, pusat tingkatan enam dan sekolah
swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan dan juga sekolah-sekolah di bawah kawalan
Kementerian Hal Ehwal Ugama.
Institusi pendidikan teknikal dan vokasional, pusat-pusat latihan dan pembelajaran sepanjang
hayat dan institusi-institusi pengajian tinggi pula akan meneruskan pengajaran dan pembelajaran
secara dalam talian melalui platform media sosial yang bersesuaian seperti yang telah bermula
pada hari Isnin, 9 Ogos 2021. Mana-mana pelajar yang sedang menjalani penempatan kerja
adalah dinasihatkan untuk mematuhi Business Continuity Plan (BCP) di tempat mereka menjalani
penempatan kerja dan garis panduan latihan industri yang telah ditetapkan oleh institusi
pengajian masing-masing.
Semua institusi pengajian juga diarahkan untuk mengaktifkan Business Continuity Plan (BCP)
masing-masing dan pelaksanaan kaedah Work From Home (WFH) juga diselaraskan dengan
kaedah flexible working arrangements bagi semua warga perkhidmatan awam seperti yang
dinyatakan di dalam Surat Keliling Jabatan Perdana Menteri bilangan 06/2020.