Majlis Pendidikan Teknik dan Vokasional Brunei Darussalam (MPTVBD) telah ditubuhkan pada Mei 1991 sebagai badan penganugerahan kebangsaan bagi kelayakan teknikal dan vokasional di Negara Brunei Darussalam. Dengan adanya badan ini, penyediaan pendidikan teknik dan vokasional di negara ini akan menjadi lebih fleksibel dan berkesan.
MPTVBD juga bertanggungjawab dalam memberikan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam dengan kemahiran yang berkaitan dengan kelayakan teknikal dan vokasional sejajar dengan keperluan negara.
Program pertama yang telah dianugerahkan oleh Majlis ini ialah pada bulan Ogos 1992.
Sebelum Sistem Pendidikan Negara ke-21 (SPN21) diperkenalkan, MPTVBD telah meluluskan sebanyak 107 program dalam pelbagai peringkat kelayakan seperti Higher National Diploma (HND), National Diploma (ND), Pre-National Diploma (PND), National Technical Certificate 3 (NTC 3), National Technical Certificate 2 (NTC 2) dan National Vocational Certificate (NVC). Program-program yang ditawarkan diantaranya adalah seperti Building Trades; Business and Finance; Building and Construction; Engineering; Hospitality and Tourism; Information & Communication Technology (ICT); Science; Secretarial dan sebagainya.
Setelah adanya SPN21, program-program yang sedia ada di dalam peringkat kelayakan National Diploma (ND), Pre-National Diploma (PND), National Technical Certificate 3 (NTC 3), National Technical Certificate 2 (NTC 2) dan National Vocational Certificate (NVC) telah ditiadakan dan digantikan dengan program-program SPN21 diperingkat Diploma (Dip), Skill Certificate 3 (SC 3) dan Skill Certificate 2 (SC 2). Sehingga kini, MPTVBD telah menawarkan sebanyak 103 program dalam pelbagai jurusan seperti Applied and Agriculture Science; Business and Administration; Civil and Built Environment; Design, Textiles and Clothing; Electronic and Info-Communication Technology, Engineering; dan Hotel Services and Tourism Studies.
Dalam transformasi pendidikan teknik dan vokasional, peringkat kelayakan MPTVBD telah ditiadakan dan digantikan dengan peringkat kelayakan yang diperkenalkan oleh Institut Pendidikan Teknik Brunei (IBTE) seperti Higher National Technical Education Certificate (HNTec), National Technical Education Certificate (NTec) and Institutional Skills Qualification (ISQ). Manakala, peringkat kelayakan Higher National Diploma (HND) telah digantikan kepada Advance Diploma (AD) dan ditawarkan di Politeknik Brunei.
Pengambilan program MPTVBD terakhir ialah pada September 2015, dan pengajian tersebut telahpun tamat dan dianugerahkan (award) pada September 2018 lalu.