Home 5 Press Releases 5 SEKOLAH MENENGAH RIMBA BERJAYA MERAIH TEMPAT KETIGA DALAM SEAMEO-JAPAN EDUCATION FOR SUSTAINABLE DEVELOPMENT (ESD) AWARD 2026

SEKOLAH MENENGAH RIMBA BERJAYA MERAIH TEMPAT KETIGA DALAM SEAMEO-JAPAN EDUCATION FOR SUSTAINABLE DEVELOPMENT (ESD) AWARD 2026

Sep 25, 2026 | Press Releases

Jumaat | 13 Rabiulakhir 1448 | 25 September 2026

BRUNEI DARUSSALAM – Kementerian Pendidikan melaluiPusat Kerjasama Sains, Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) telah menyelaras penyertaan sekolah-sekolah di Negara Brunei Darussalam ke pertandingan SEAMEO-Japan ESD bagi tahun 2026. Daripada penyertaan tersebut, Sekolah Menengah Rimba telah berjaya meraih Tempat Ketiga dalam SEAMEO-Japan Education for Sustainable Development (ESD) Award 2026 menerusi projek pelajar yang bertajuk, “RimbaScan: From Using AI to Thinking with AI – Student-Built Offline AI for Plant Learning, Human Agency and Sustainable Futures.”

Anugerah SEAMEO-Japan ESD bagi tahun 2026 bertemakan “Learning and Well-being for Sustainable Futures: Leveraging the Power of AI” dianjurkan oleh Southeast Asian Ministers of Education Organization (SEAMEO) dengan kerjasama Ministry of Education, Culture, Sports, Science and Technology (MEXT), Jepun serta sokongan UNESCO Bangkok. Sebanyak 160 buah sekolah dari sembilan buah negara Asia Tenggara telah menyertai pertandingan ini, dengan tujuh buah sekolah terpilih ke peringkat akhir yang merangkumi pembentangan dan sesi soal jawab secara dalam talian.

Projek RimbaScan dicipta dan dikembangkan oleh pelajar-pelajar SM Rimba iaitu Ahmad Khairi Zakwan bin Haji Muhd Marzuki, Md Noor Ghazi Afif bin Md Noor Faizan, Muhammad Danny Daniel bin Abdullah dan Ahmad Razeen bin Adi Shahreen, di bawah bimbingan Cikgu Lena Ang Yan Ping, Pegawai Pelajaran sekolah tersebut.

Prinsip utama RimbaScan ialah AI menyokong pertimbangan manusia dan bukan menggantikannya. Dalam aktiviti pembelajaran, pelajar terlebih dahulu membuat pemerhatian dan ramalan sendiri sebelum menggunakan AI. Mereka kemudiannya membandingkan keputusan AI dengan bukti, menilai tahap keyakinan, membuat pengesahan apabila diperlukan dan membuat keputusan akhir berdasarkan pertimbangan sendiri. Pendekatan ini membantu memupuk pemikiran kritis, penggunaan bukti, keyakinan diri, agensi manusia serta kefahaman yang bertanggungjawab terhadap keupayaan dan batasan AI.

Pendekatan tersebut selaras dengan tema SEAMEO-Japan ESD Award 2026 yang menekankan penggunaan AI secara beretika dan berhemah bagi memperkukuh pembelajaran dan kesejahteraan, di samping menangani cabaran kelestarian dunia sebenar. Anugerah ini turut memberi penekanan kepada kepimpinan pelajar, kerjasama komuniti, kesinambungan serta impak yang dapat ditunjukkan.

Pengiktirafan SEAMEO-Japan ESD Award 2026 ini menjadi satu lagi pencapaian penting dalam perkembangan berterusan RimbaScan. Pasukan projek merancang untuk memperluaskan pelaksanaan di bilik darjah, memperkukuh pengesahan bersama petani dan pakar, membangunkan lebih banyak bahan pembelajaran berkaitan tanaman dan biodiversiti serta menghasilkan sumber pengajaran yang boleh digunakan oleh kumpulan pelajar pada masa akan datang.

Kejayaan ini menyusuli beberapa pencapaian terdahulu RimbaScan sejak mula diciptakan pada tahun 2025 di peringkat kebangsaan, serantau dan antarabangsa, diantaranya ialah pengiktirafan dalam ASEAN Youth Camp 2025 AI Hackathon for Green Sustainability, Merit Award dalam Kategori Sekolah Menengah Brunei ICT Awards (BICTA) 2025, tempat Ke-Empat dalam pertandingan anjuran Pusat Kerjasama Sains Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) R.E.A.L. Learning Competition 2025, dua Pingat Gangsa dalam kategori Special Award for the Application of STEM Concepts dan Special Award for Commercial Potential di 14th Regional Congress Search for SEAMEO Young Scientists Programme 2025/2026, dan Merit Award dalam Kategori Sekolah Menengah BICTA 2026 menerusi projek “RimbaScan 2.0: Smart AI Plant Assistant.

Maklumat Tambahan

Pembangunan RimbaScan turut melibatkan kerjasama dengan pelbagai pakar dan komuniti. Pelajar berpeluang mendapatkan pengetahuan daripada ahli botani, pakar pertanian, pendidik, petani serta rakan komuniti. 

Kerjasama ini menyumbang kepakaran berkaitan tumbuhan tempatan, pertanian, pengalaman lapangan, penjagaan tanaman serta panduan mengenai penggunaan AI dalam pengenalpastian dan diagnosis. Pendekatan ini membentuk model pembelajaran sekolah-komuniti, di mana pelajar mengenal pasti masalah sebenar, membangunkan penyelesaian dengan penggunaan teknologi, mempelajari pengetahuan daripada komuniti, menambah baik teknologi dan membawa pengetahuan tersebut kembali ke bilik darjah.

Sekolah turut mula menilai impak pendidikan RimbaScan melalui soal selidik sebelum dan selepas aktiviti, lembaran kerja serta refleksi pelajar. Dapatan awal menunjukkan peningkatan dalam pemikiran kritis dan pembuatan keputusan berasaskan bukti, termasuk keupayaan pelajar mengenal pasti keadaan apabila hasil AI memerlukan pengesahan lanjut. Pendekatan ini menyokong matlamat RimbaScan untuk mengubah pembelajaran pelajar daripada sekadar menggunakan AI kepada berfikir secara kritis dengan AI.

RimbaScan turut menyumbang kepada agenda pembangunan mampan melalui pendidikan berkualiti, inovasi bertanggungjawab dan kerjasama strategik, khususnya dalam bidang pengetahuan makanan tempatan, pertanian mampan dan pemeliharaan biodiversiti. Projek ini menjadikan pendidikan dan agensi pelajar sebagai asas kepada inovasi dan tindakan bersama komuniti.

Kejayaan Tempat Ketiga ini menyusuli beberapa pencapaian RimbaScan sejak dibangunkan pada tahun 2025, diantaranya ialah pengiktirafan dalam ASEAN Youth Camp 2025 AI Hackathon for Green Sustainability, Merit Award dalam Kategori Sekolah Menengah Brunei ICT Awards (BICTA) 2025, serta tempat Ke-Empat dalam pertandingan anjuran Pusat Kerjasama Sains Teknologi dan Alam Sekitar (Pusat STEP) R.E.A.L. Learning Competition 2025. 

Pada Februari 2026, melalui Pusat STEP, Kementerian Pendidikan, RimbaScan dipilih untuk mewakili Brunei Darussalam ke 14th Regional Congress Search for SEAMEO Young Scientists Programme 2025/2026 di Pulau Pinang, Malaysia dan menerima dua Pingat Gangsa, masing-masing bagi Special Award for the Application of STEM Concepts dan Special Award for Commercial Potential.

Pada tahun yang sama, RimbaScan turut diberi peluang mewakili Kementerian Pendidikan dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri 1447H/2026M anjuran Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah pada 4 April 2026 di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas. Aplikasi tersebut dipamerkan dalam sesi inovasi AI dengan tema “Inovasi A.I.: Pemangkin Pembangunan Masyarakat.”

RimbaScan kemudiannya menerima Merit Award dalam Kategori Sekolah Menengah BICTA 2026 menerusi projek “RimbaScan 2.0: Smart AI Plant Assistant.”

Sekolah Menengah Rimba merakamkan penghargaan atas peluang untuk mewakili Brunei Darussalam di peringkat serantau dan berkongsi bagaimana inovasi yang diterajui pelajar, pengetahuan komuniti dan penggunaan AI secara bertanggungjawab dapat menyumbang kepada pembelajaran bermakna dan pembangunan mampan. Pencapaian ini mencerminkan sokongan dan kerjasama pihak sekolah, Kementerian Pendidikan, Pusat STEP, organisasi kolaborasi, rakan komuniti serta individu yang telah menyumbangkan kepakaran dan bimbingan sepanjang pembangunan RimbaScan.

____________________________________________

The English version will be available shortly.

Check out these related post also…

0 Comments