Home 5 Press Releases 5 MAJLIS DOA KESYUKURAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-36 TAHUN 1448H / 2026M

MAJLIS DOA KESYUKURAN SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU KALI KE-36 TAHUN 1448H / 2026M

Sep 22, 2026 | Press Releases

Selasa | 10 Rabiulakhir 1448 | 22 September 2026

Bandar Seri Begawan – Kementerian Pendidkan bersama Kementerian Hal Ehwal Ugama pada petang tadi mengadakan Majlis Doa Kesyukuran bertempat di Masjid Omar ‘Ali Saifuddien di ibu negara sempena Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam Kali Ke-36.

Hadir di majlis tersebut ialah Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Haji Mohammad Tashim bin Pengiran Haji Hassan, Menteri Hal Ehwal Ugama dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan.

Turut hadir, Yang Mulia Dato Seri Paduka Dr. Awang Haji Norarfan bin Haji Zainal, Timbalan Menteri Pendidikan; Yang Mulia Dr. Haji Mohammed Hussain bin Pehin Penyurat Haji Ahmad, Setiausaha Tetap Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Yang Mulia Dr. Haji Azman bin Ahmad, Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) Kementerian Pendidikan. Juga hadir, Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei; Ra’es Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan; Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap; Ketua-ketua Jabatan serta para pegawai kanan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan.

Majlis dimulakan dengan Sembahyang Sunat Hajat berjemaah bagi memohon agar Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sentiasa berada dalam lindungan Allah Subhanahu Wa Ta’ala dan dianugerahkan kesihatan, kekuatan serta perlindungan yang berterusan dalam memimpin negara ke arah kesejahteraan dan keberkatan yang berpanjangan, yang diimamkan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang, Pegawai Masjid, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Jabatan Hal Ehwal Masjid yang turut mengimamkan Sembahyang Fardhu Asar berjemaah. Diikuti dengan bacaan Ratib Al-Attas oleh Yang Mulia Awang Haji Hamdini bin Haji Garif, Imam Tingkat III, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Manakala Doa Kesyukuran dan Doa Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam juga dibacakan oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Emran bin Haji Kunchang, Pegawai Masjid, Masjid Omar ‘Ali Saifuddien.

Majlis juga dihadiri oleh pegawai-pegawai, guru-guru serta pelajar-pelajar dari sekolah-sekolah, maktabmaktab, institusi-institusi pengajian tinggi dan teknikal di bawah Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan.

Majlis Doa Kesyukuran merupakan sebahagian daripada acara keagamaan bersempena dengan Sambutan Hari Guru Negara Brunei Darussalam yang dikendalikan oleh Kementerian Hal Ehwal Ugama dan Kementerian Pendidikan.

Tema bagi Sambutan Hari Guru pada tahun ini ialah ‘Guru Pemangkin Pendidikan Lestari dan Inovasi’.

___________________________________________________________

The English version will be available shortly.

Check out these related post also…

0 Comments