Menangani Kesejahteraan Dan Keselamatan Penuntut-Penuntut Negara Brunei Darussalam Yang Menuntut Di Luar Negara

Mar 17, 2020

Kementerian Pendidikan ingin memaklumkan kepada orang ramai terutama kepada ibubapa/ penjaga penuntut-penuntut Negara Brunei Darussalam yang mengikuti pengajian mereka di luar negara bahawa Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam mengambil berat akan kesejahteraan dan keselamatan penuntut-penuntut berkenaan terutama semasa pandemik COVID-19 yang melanda hampir semua negara di dunia pada masa ini.

 

Dalam perkara ini, sukacita memaklumkan bahawa Kementerian Pendidikan berkerja rapat dengan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri melalui perwakilan Negara Brunei Darussalam di luar negara dalam memantau perkembangan terkini penularan wabak COVID-19 di negara-negara yang telah dikenal pasti mempunyai penuntut-penuntut dari negara ini. Antara tindakan yang telah dan sedang giat dilaksanakan termasuk:

 

i.          Mendapatkan laporan harian dari Ataci-Ataci Pendidikan di Australia, Malaysia dan United Kingdom mengenai keadaan penuntut-penuntut di Australia, New Zealand, Malaysia, Singapura, United Kingdom dan Ireland. Laporan ini dihantar setiap hari ke Pusat Gerakan COVID-19, Kementerian Pendidikan, yang telah diaktifkan semenjak Januari 2020 yang lalu, bagi tujuan pemerhatian dan pemantauan;


ii.         Bagi negara-negara lain yang tidak mempunyai Ataci-Ataci Pendidikan seperti Amerika Syarikat, Kanada dan Hongkong, China serta negara-negara lain, Kementerian Pendidikan membuat pemantauan secara langsung melalui sama ada Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan atau perwakilan Negara Brunei Darussalam di negara-negara berkenaan.


iii.        Pihak Ataci Pendidikan di luar negara mengeluarkan notis kepada semua penuntut untuk mengambil langkah berjaga-jaga termasuk tidak melakukan perjalanan ke negara-negara yang teruk terjejas oleh wabak COVID-19; mengelakkan dari mengunjungi tempat-tempat yang sesak/ ramai; melaporkan kepada perwakilan negara mengenai keadaan kesihatan mereka dari semasa ke semasa serta mendapatkan nasihat kesihatan dari pihak berkenaan jika merasa kurang sihat dan mempertingkatkan lagi kebersihan diri (personal hygiene). Notis ini juga memaklumkan para penuntut untuk sentiasa mengikuti perkembangan semasa mengenai wabak COVID-19 khususnya di institusi pengajian mereka dan negara tempat pengajian mereka secara amnya.


Dengan mengambil kira bahawa Negara Brunei Darussalam juga sedang menghadapi cabaran dalam mengawal penularan wabak COVID-19 pada masa ini, Kementerian Pendidikan dengan nasihat dari Kementerian Kesihatan akan meneliti langkah-langkah untuk membolehkan penuntut-penuntut berkenaan pulang ke tanahair dengan mengikut proses yang ditetapkan.


Dalam hubungan ini, Kementerian ini sukacita menasihatkan para ibubapa/penjaga penuntut-penuntut untuk tidak merasa cemas dan mendapatkan maklumat-maklumat dari pihak-pihak berkenaan mengenai langkah-langkah yang sedang diambil dalam menjaga keselamatan dan kesejahteraan penuntut-penuntut.


Kementerian Pendidikan juga memohon kerjasama penuntut dan ibubapa/ penjaga untuk segera mendaftarkan diri kepada perwakilan negara di negara pengajian masing-masing (jika belum berbuat demikian) dalam memastikan pihak Kerajaan akan dapat memberikan bantuan kepada para penuntut terutama dalam situasi yang kita hadapi masa ini.


Untuk sebarang pertanyaan mengenai langkah-langkah yang diambil bagi penuntut-penuntut di luar negara, ibubapa/penjaga bolehlah merujuk ke Bahagian Biasiswa, Kementerian Pendidikan, Blok C Tingkat 5, Kementerian Pendidikan atau menghubungi talian 2380019; atau melalui alamat emel scholarship@moe.gov.bn.