​MAJLIS ANUGERAH SEKOLAH MEMPROMOSI KESIHATAN HPS GLOW 2026

Jul 11, 2026

MAJLIS ANUGERAH SEKOLAH MEMPROMOSI KESIHATAN HPS GLOW 2026  

Hari Sabtu | 25 Muharram 1448H | 11 Julai 2026  


BERAKAS – Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Jabatan Sekolah-Sekolah, Kementerian Pendidikan, hari ini mengadakan Majlis Anugerah Sekolah Mempromosi Kesihatan Health Promoting School Growing, Learning, Optimizing towards better Well-being in School (HPS GLOW) 2026 di Dewan Mawaddah, Setia Point.

GLOW EVENT 2026_1.png

Majlis ini diadakan sebagai penghargaan kepada 12 buah sekolah rendah dan menengah Kerajaan yang terlibat dan aktif melaksanakan inisiatif pemerkasaan persekitaran sihat serta menyokong kesejahteraan warga sekolah, selaras dengan dasar-dasar kesihatan dan pendidikan negara. Majlis ini juga menjadi wadah pengiktirafan dan motivasi berterusan kepada pihak sekolah untuk memperkukuhkan amalan persekitaran yang kondusif ke arah peningkatan tahap kesihatan fizikal, mental dan sosial di kalangan murid, guru dan warga sekolah secara menyeluruh.

Pelaksanaan HPS GLOW 2.0 adalah berasaskan pendekatan holistik whole-of-school approach yang melibatkan kepimpinan sekolah, guru, murid, ibu bapa, komuniti dan agensi-agensi berkepentingan dalam merancang serta melaksanakan pelan tindakan yang bersesuaian dengan keperluan sekolah masing-masing. Pendekatan ini membantu memupuk rasa tanggungjawab dan kekitaan di kalangan warga sekolah, di samping memperkasa kapasiti sekolah untuk mewujudkan persekitaran yang menyokong pembelajaran, kesihatan dan kesejahteraan secara bersepadu. Melalui inisiatif ini, Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan terus memperkukuh kerjasama strategik ke arah membangunkan sistem sekolah yang lebih menyokong kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak dan remaja di Negara Brunei Darussalam.

Hadir selaku Tetamu Kehormat Bersama majlis ialah Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr. Awang Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar, Menteri Kesihatan dan Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr. Dayang Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh, Menteri Pendidikan.

Turut hadir ialah Yang Mulia Setiausaha-Setiausaha Tetap dan Timbalan-Timbalan Setiausaha Tetap​ dari Kementerian Kesihatan dan Kementerian Pendidikan.

Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan doa selamat dan diteruskan dengan majlis perasmian anugerah dan lawatan Tetamu-Tetamu Kehormat ke 12 buah booth pameran sekolah-sekolah HPS GLOW yang terlibat. Pameran berkenaan memaparkan pelbagai inisiatif, aktiviti dan amalan terbaik yang telah diungkayahkan oleh sekolah dalam memperkasa persekitaran sekolah yang sihat, selamat dan menyokong kesejahteraan murid serta seluruh warga sekolah sepanjang tempoh program sejak tahun lalu.

GLOW EVENT 2026_2.png

GLOW EVENT 2026_3.png

GLOW EVENT 2026_4.png

Majlis diteruskan dengan ucapan alu-aluan oleh Yang Mulia Dr. Siti Rosemawati binti Haji Md. Yussof, Ketua Pusat Promosi Kesihatan, Kementerian Kesihatan selaku Pengerusi Bersama Majlis. Dalam ucapan tersebut, beliau menegaskan bahawa pengiktirafan ini hendaklah dilihat sebagai permulaan kepada usaha yang lebih mantap dan lestari, di samping menjadi dorongan kepada sekolah-sekolah untuk terus mengukuhkan struktur dan budaya sekolah yang sihat serta berkongsi amalan terbaik dengan sekolah-sekolah yang lain.

GLOW EVENT 2026_5.png

Majlis pada pagi ini juga turut diserikan dengan tayangan klip video montaj “HPS GLOW Schools in Action” yang memaparkan rakaman aktiviti-aktiviti promosi kesihatan di 12 buah sekolah HPS GLOW, termasuk usaha memupuk budaya pemakanan sihat, aktiviti fizikal, kebersihan diri dan sokongan kesejahteraan mental di persekitaran sekolah. Tayangan tersebut turut menampilkan temu bual ringkas dengan guru-guru dan pemimpin-pemimpin sekolah yang berkongsi pengalaman mereka melaksanakan HPS GLOW serta perubahan positif yang mula dilihat di kalangan murid dan warga sekolah.

Majlis Anugerah Sekolah Mempromosi Kesihatan HPS GLOW 2026 juga meraikan, menghargai usaha sekolah-sekolah dalam memperkasa budaya hidup sihat serta kesejahteraan warga sekolah melalui pelaksanaan inisiatif Sekolah Mempromosi Kesihatan. Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan ke arah menjadikan setiap sekolah di Negara Brunei Darussalam sebuah sekolah mempromosi kesihatan, sejajar dengan aspirasi Wawasan Brunei 2035 khususnya dalam mencapai kualiti kehidupan yang tinggi, di samping memperkukuh sokongan negara terhadap pendekatan berasaskan bukti yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), UNESCO dan UNICEF.

Majlis pada pagi ini, menyaksikan penyampaian Anugerah Sekolah Mempromosi Kesihatan HPS GLOW 2026 kepada sekolah-sekolah terlibat yang telah menunjukkan komitmen dan pencapaian cemerlang dalam melaksanakan pelan tindakan berpandukan pillar-pillar Sekolah Mempromosi Kesihatan yang digariskan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Bagi kategori sekolah rendah, Anugerah Sekolah Mempromosi Kesihatan HPS GLOW 2026 telah disampaikan kepada:

  • Anugerah Emas: Sekolah Rendah Panglima Barudin Limau Manis, Sekolah Rendah Tanjong Kindana dan Sekolah Rendah Perpindahan Bukit Beruang II.
  • Anugerah Perak: Sekolah Rendah Bendahara Lama.
  • Anugerah Gangsa: Sekolah Rendah Dato Marsal dan Sekolah Rendah Panaga.

Bagi kategori sekolah menengah, penerima Anugerah Sekolah Mempromosi Kesihatan HPS GLOW 2026 adalah:

  • Anugerah Emas: Sekolah Menengah Muda Hashim, Tutong.
  • Anugerah Perak: Sekolah Menengah Pehin Datu Seri Maharaja Mentiri, Sekolah Menengah Menglait, Sekolah Menengah Masin dan Maktab Anthony Abell.
  • Anugerah Gangsa: Sekolah Menengah Sultan Hassan, Temburong.
GLOW EVENT 2026_6.png
GLOW EVENT 2026_7.png

Turut disampaikan ialah beberapa Anugerah Khas Sekolah Mempromosi Kesihatan HPS GLOW 2026 (Special Mention Awards) bagi menghargai kepimpinan dan amalan terbaik di peringkat sekolah, termasuk kategori Best HPS Leadership, Best HPS Focal Teacher, Best HPS Committee, Best Staff Wellness Activity, Best Parent Teacher Association (PTA) Engagement dan Best Sustainable HPS Activity.

GLOW EVENT 2026_8.png

GLOW EVENT 2026_9.png

GLOW EVENT 2026_10.png

GLOW EVENT 2026_11.png

Melihat ke hadapan, Kementerian Kesihatan menaruh harapan agar kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan akan terus diperkukuh, termasuk melalui pembangunan Brunei Health Promoting School Framework dan standard kebangsaan yang sejajar dengan standard global WHO, pengintegrasian kerangka tersebut ke dalam keutamaan strategik kementerian-kementerian berkaitan, serta pelaksanaan program akreditasi kebangsaan secara berfasa untuk semua sekolah di Negara Brunei Darussalam. Visi yang digariskan adalah jelas, iaitu Every School in Brunei Should Be a Health Promoting School by 2035.


___________________________________________

The English version will be published soon