LAWATAN PUCUK PIMPINAN KEMENTERIAN PENDIDIKAN SEMPENA MUSIM PERMULAAN PERSEKOLAHAN TAHUN 2018. RABU, 3 JANUARI 2018

Jan 3, 2018

Bandar Seri Begawan – Memasuki hari kedua persekolahan bagi persekolahan Tahun 2018, suasana keceriaan dan semangat para pelajar nampak melalui keterujaan di wajah mereka semasa mereka hadir ke sekolah.

Sebilangan besar begitu bersemangat menemui guru-guru dan sahabat-sahabat untuk memulakan sesi pembelajaran khususnya dalam suasana peningkatan kelas yang diduduki di tahun yang baru ini.

Bersempena dengan musim persekolahan tahun 2018, pucuk pimpinan Kementerian Pendidikan telah mengadakan lawatan ke beberapa buah sekolah bagi melihat perjalanan persekolahan pelajar-pelajar sesi persekolahan awal tahun yang bermula pada hari Selasa, 2 Januari 2018.

1. MENTERI PENDIDIKAN

Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Pendidikan mengadakan lawatan ke tiga buah sekolah iaitu Sekolah Menengah Rimba, Sekolah Rendah Rimba III dan Sekolah Rendah Katok ‘B’.

Ketibaan Menteri Pendidikan dan rombongan di Sekolah Menengah Rimba dialu-alukan oleh Dayang Rosmawati bte Mohammad, Timbalan Pengetua Akademik Sekolah Menengah Rimba dan Ketua Kluster 4, Yang Mulia Awang Haji Abdullah bin Haji Ismail.

Ketika berada di Sekolah Menengah Rimba Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan rombongan melihat perjalanan pendaftaran dan Sesi Orientasi Penuntut-Penuntut Tahun 7, 2018 yang diadakan di Dewan Koloboratif, Sekolah Menengah Rimba.

Seterusnya, Yang Berhormat Pehin dan rombongan mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Rimba III.  Mengalu-alukan ketibaan Yang Berhormat Pehin Menteri Pendidikan dan rombongan ialah Yang Mulia Dayang Azimah Bte Haji Ali Ahmad, Guru Besar Sekolah Rendah Rimba III dan Ketua Kluster 4, Yang Mulia Awang Haji Abdullah Bin Haji Ismail.

Sekolah Rendah Rimba III mempunyai pelajar seramai 333 orang 28 orang tenaga pengajar.

Semasa berada di Sekolah Rendah Rimba III, Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan rombongan membuat lawatan menyaksikan sesi pengajaran di dalam bilik Tahun 1A pengajaran Bahasa English, Tahun 2A pengajaran Matematik dan Tahun 3A pengajaran Mata Pelajaran English.  Yang Berhormat Menteri Pendidikan turut membuat lawatan ke perpustakaan, Makmal Komputer dan beberapa buah kelas rendah atas bagi meninjau pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah.  Yang Berhormat Menteri Pendidikan juga mengambil kesempatan beramah mesra dengan beberapa orang pelajar sekolah berkenaan.

SR Rimba III (7).JPG

Seterusnya rombongan Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman, Menteri Pendidikan mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Katok ‘B”, Kluster 1.

Ketibaan Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan rombongan dialu-alukan oleh Cikgu Haji Muhammad Nikman bin Haji Muhammad Isa, Guru Besar Sekolah Rendah Katok ‘B’, Kluster 1 dan Ketua Kluster 1, Yang Mulia Dayang Hamidah Bte Haji Daud.

Semasa berada di sekolah ini, Yang Berhormat Menteri Pendidikan dan rombongan di bawa melawat prasarana dan pembelajaran yang sedang berjalan di sekolah berkenaan.   Antara bilik darjah yang Yang Berhormat Menteri Pendidikan lawati ialah Bilik SENA, sesi pengajaran Bahasa English dan sesi pengajaran di kelas-kelas Tahun 1B, Tahun 2B, Learning Assistance dan Makmal Sains.

Pada tahun ini, keramaian pelajar di Sekolah Rendah Katok ‘B’, Kluster 1 ialah seramai 468 orang dan 36 orang tenaga pengajar.

Di Sekolah Rendah Katok ‘B’, Kluster 3, Yang Berhormat Menteri Pendidikan melahirkan rasa kagum (impress) dengan persediaan dan perancangan yang pihak sekolah buat kerana ianya merupakan salah satu usaha yang boleh menghasilkan keputusan peperiksaan yang lebih baik.

Turut sama dalam rombongan ini ialah Yang Mulia Dayang Nadia Lee Siew Hoon binti Abdullah, Timbalan Setiausaha Tetap (Pendidikan Teras) dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan.

2. TIMBALAN MENTERI PENDIDIKAN

Di hari yang sama, turut mengadakan lawatan berasingan ialah Yang Mulia Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom Bin Pengiran Haji Bahar, Timbalan Menteri Pendidikan yang mengadakan lawatan ke dua buah sekolah rendah iaitu Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah, BSB dan Sekolah Rendah Dato Othman, Lambak Kiri.

Menerusi lawatan ini, Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan dan rombongan berkesempatan meninjau sesi pembelajaran yang sedang berjalan di beberapa buah kelas.

Rombongan Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan memulakan sesi lawatan ke Sekolah Rendah Raja Isteri Fatimah. Ketibaan Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan dan rombongan disambut oleh Cikgu Siti Norbaya binti Hj Abd Samad, Guru Besar sekolah berkenaan.

Antara kelas atau bilik yang dikunjungi rombongan Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan ialah Bilik Ibadat, Bilik Komputer, Kelas Tahun 1, 2, 3, 4, 5 dan 6. Sesi lawatan diakhiri dengan taklimat yang disampaikan oleh Guru Besar Sekolah berkenaan.

lawatan TM2.png

Setelah selesai, rombongan Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan meneruskan lawatan ke Sekolah Rendah Dato Othman, Lambak Kiri. Rombongan dialu-alukan oleh Cikgu Hjh Hafizah binti Salat, Guru Besar Sekolah Rendah Dato Othman.

Antara kelas atau bilik yang dikunjungi rombongan Yang Mulia Timbalan Menteri Pendidikan di sekolah berkenaan ialah Bilik Perpustakaan, Bilik Sains, Bilik kelas Tahun 1, 6C, 6B dan 6C.

Pada tahun ini, Sekolah Rendah Dato Othman mempunyai seramai 407 orang pelajar dan 56 orang tenaga pengajar dan kakitangan sekolah.

Turut sama dalam rombongan ini ialah Yang Mulia Dr. Haji Azman bin Ahmad, Timbalan Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi); Yang Mulia Dayang Hajah Anis Faudzulani binti Haji Dzulkiflee, Pemangku Ketua Pengarah Pendidikan dan Pegawai-Pegawai Kanan Kementerian Pendidikan.

3. UMUM

Lawatan-lawatan berkenaan adalah bertujuan bagi melihat perjalanan kemasukan para pelajar di awal tahun dan juga untuk memberikan sokongan dan meningkatkan hubungan baik antara pihak Kementerian Pendidikan dengan warga sekolah. Di samping itu, memberikan motivasi dan semangat bagi para pelajar yang baru memulakan sesi persekolahan Tahun 2018.

Pada tahun ini keramaian pelajar-pelajar di sekolah-sekolah rendah kerajaan ialah seramai 24,362 orang dan keramaian pelajar di sekolah-sekolah menengah kerajaan pula ialah seramai 29,921 (berdasarkan data sehingga 2 Januari 2018).


-TAMAT-