Pengembalian Operasi Pengajaran Dan Pembelajaran Di Sekolah-Sekolah Rendah, Menengah Dan Pusat-Pusat Tingkatan Enam, Serta Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) Peringkat Ke-5 (Norma Baru)

Mar 6, 2021

Kementerian Pendidikan sukacita memaklumkan bahawa mengambil nasihat Kementerian Kesihatan serta perkembangan jangkitan pandemik COVID-19 di negara ini, Kementerian Pendidikan bersedia dan akan memulakan tahap sesi persekolahan di Peringkat Ke-5 norma baru (new normalbagi semua sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, semua sekolah swasta serta sekolah Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama dan seterusnya sesi pengajaran dan pembelajaran di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Institut Pendidikan Teknikal Brunei (IBTE) bermula 24 Rejab 1442 bersamaan dengan 08 Mac 2021.

Pada norma baru ini, sekolah-sekolah di bawah kawalan Kementerian Pendidikan, semua sekolah swasta serta sekolah Arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama dibenarkan untuk mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dan secara face-to-face dengan kapasiti seperti biasa. Waktu kurikulum sekolah juga adalah dibenarkan untuk beroperasi seperti biasa tanpa perlu ada waktu balik persekolahan secara berperingkat (staggering). Bagi institusi- institusi pengajian tinggi di negara ini pula, dibenarkan untuk mengadakan sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian dan secara face-to-face dengan kapasiti seperti biasa mengikut kesesuaian serta keperluan institusi pengajian masing-masing.

Semua aktiviti di luar bilik darjah seperti sukan berpasukan dan kokurikulum secara bersemuka adalah dibenarkan dengan berpandukan nasihat Kementerian Kesihatan serta garis pandu daripada Kementerian Kebudayaan Belia dan Sukan. Aktiviti perbarisan atau perkumpulan pagi mengikut jumlah yang dibenarkan setakat ini juga adalah diteruskan. Walau bagaimanapun, pihak sekolah hendaklah memastikan ruang pengudaraan (ventilation) adalah mencukupi khususnya bagi perkumpulan yang melibatkan jumlah yang ramai dalam ruangan yang tertutup selaras dengan nasihat Kementerian Kesihatan mengenainya.

Sementara itu bagi institusi-institusi pengajian tinggi, aktiviti-aktiviti kokurikulum, penempatan kerja dan lawatan-lawatan sambil belajar di dalam negara juga dibenarkan yang mana para pelajar, pihak penganjur dan sebagainya masih dikehendaki untuk mengisikan Borang Deklarasi atau Laporan Penilaian Risiko (Risk Assesment) serta mesti mendapat kebenaran terlebih dahulu dari pihak pengurusan di institusi-institusi pengajian berkenaan. Manakala program ‘Study Abroad’ atau program-program ke luar negara adalah masih tidak dibenarkan sebagaimana juga tegahan bagi seluruh rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam untuk keluar negeri masih dikekalkan seperti yang dinasihatkan oleh Kementerian Kesihatan sebelum ini.

Kementerian Pendidikan akan terus menekankan aspek kebersihan diri serta premis sekolah dan institusi-institusi pengajian di negara ini. Pihak sekolah dan institusi-institusi pengajian adalah ditekankan untuk menggunakan garis panduan serta langkah-langkah menjaga keselamatan, kebersihan dan pencegahan yang telah disediakan dalam memastikan kesejahteraan pelajar-pelajar dan warga sekolah serta institusi-institusi pengajian adalah terjamin. Pembersihan bilik-bilik darjah, dewan kuliah, makmal-makmal, bengkel-bengkel dan sebagainya selepas setiap pemakaian adalah masih diteruskan. Dalam hal ini juga, sekolah-sekolah dan institusi-institusi pengajian juga dikehendaki untuk terus melaksanakan Prosedur Operasi Standard (SOP) Pengembalian Semula Sekolah / Pelan De-Escalation IPTA dan IBTE dalam usaha memantau tahap kesihatan bagi pelajar- pelajar, guru-guru, tenaga pengajar, pensyarah-pensyarah dan individu-individu yang mempunyai urusan dengan pihak sekolah dan institusi-institusi pengajian.

Antara norma baru yang masih dikekalkan dan diteruskan adalah; (1) Mengadakan pemeriksaan suhu badan sebelum memasuki premis sekolah atau mana-mana institusi pengajian; (2) Pengimbasan Kod QR juga, dimana mereka yang berada dalam kod merah adalah dinasihatkan untuk tidak hadir atau memasuki kawasan sekolah dan institusi-institusi pengajian; (3) Amalan mencuci tangan dan penyediaan hand sanitizer di tempat-tempat yang strategik; dan (4) Amalan tanggungjawab sosial bagi setiap individu.